Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia,Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan
Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di
Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia,
bahasa Melayu juga dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat
negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di
Thailand Selatan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia,
penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur
Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur
terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris
dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang
mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat
radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti
di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New
Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu
Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan
Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di
Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal
1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun
sejak akhir-akhir ini, nama “Bahasa Melayu” digunakan semula. Bermula tahun
2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai
simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di
Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab
persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di
Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan
setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata.
Misalnya, bahasa Melayu Jawa atau bahasa Jawa mempunyai banyak perkataan yang
tidak diketahui oleh penutur bahasa Melayu yang lain. Selain itu, bahasa yang
digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina
dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien.
Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau
Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa
Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud
makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata
dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini
berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa
rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas
terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei.
Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama
atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan
Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda
yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia
menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai “bahasa
berkerja”. Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa
kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa
Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu
digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu
Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan
Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN
memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa
Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.
No comments:
Post a Comment